Saturday, January 3, 2009

Yayasan Buah Pinggang Sabah (YBPS)

Yayasan Buah Pinggang Sabah (YBPS) menyasarkan kutipan antara RM500,000 hingga RM600, 000 pada majlis Makan Malam Amal yang akan diadakan pada 10 Januari depan.
Presiden YBPS, Datuk Lajim Ukin berkata, kutipan itu adalah bagi membantu meringankan beban 2,500 ahli yang mendaftar dengan yayasan tersebut pada masa ini.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 400 pesakit buah pinggang perlu dibantu bagi menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu.

‘‘Sasaran YBPS ialah bukan sahaja meringankan beban pesakit yang menanggung kos rawatan yang tinggi setiap bulan tetapi juga seboleh mungkin menampung kos pembedahan pemindahan buah pinggang yang baru.

‘‘Ini kerana hanya dengan buah pinggang baru sahaja, kita dapat mengembalikan seseorang pesakit itu kepada kehidupan yang normal,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Pada majlis itu, YBPS turut menerima sumbangan awal daripada syarikat Bintai Intergrated Engineering Sdn. Bhd. sebanyak RM20,000.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, tetamu kehormat yang dijangka hadir pada majlis Makan Malam Amal YBPS itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Katanya, penganjuran tersebut amat memerlukan sokongan daripada semua pihak khususnya sektor swasta memandangkan YBPS terpaksa menampung kos yang tinggi setiap tahun bagi membantu pesakit buah pinggang.

‘‘Pesakit yang dirawat di hospital kerajaan memerlukan sekitar RM150 sebulan tidak termasuk ubat-ubatan, pesakit di hospital swasta pula sekitar RM1,800 sebulan. Pembedahan pemindahan buah pinggang baru antara RM70,000 hingga RM80,000 jika di dalam negara,” katanya.

Sejak YBPS ditubuhkan pada tahun 2000 katanya, seramai 10 pesakit buah pinggang telah dibantu bagi menjalani rawatan pemindahan buah pinggang baru dan sembilan daripadanya dapat kembali menjalani kehidupan normal.

‘‘Apa yang penting masyarakat perlu menjaga kesihatan bagi mengelak penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis kerana kedua-dua penyakit ini antara punca utama kerosakan buah pinggang.

No comments:

Post a Comment